Photobucket

Tuesday, October 11, 2011

Generasi Muslimat Yang Kita Impikan

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah, ayat 71)

Muslimat adalah sayap kiri perjuangan Islam , demi mengembalikan semula kedaulatan Islam dan kesejagatan ummatnya. Suatu sayap yang amat penting posisinya , sehingga Allah swt telah menegaskan di dalam taujihat Quraaninya sebagaimana dalam ayat 71, surah at-taubah.



Muslimah sama sekali tidak boleh memisahkan diri dari gerakan dakwah. Tidak ada sebarang alasan yang munasabah untuk membiarkan muslimah terceruk di dapur berkawan dengan periuk dan kuali manakala di luar sana anak-anak gadis kita dimurtadkan dan diseret ke lembah kehinaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu para ustazah yang bertudung labuh hanya memandang medan perjuangan ialah di samping keluarga (dan suami tentunya) lantas mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing. Muslimah seharusnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang da’iah.

Generasi muslimah yang kita cita-citakan ialah generasi yang rela untuk turut membawa obor perjuangan bersama-sama kaum muslimin. Mereka seharusnya mempunyai ciri-ciri yang berikut :

1. ILMU DAN THAQOFAH yang bertenaga dan mantap untuk berdepan dengan permasalahan masyarakat. Kita tidak ingin lahirnya generasi yang hanya pandai bercakap dan menjadi pak turut namun kelu apabila berbicara tentang permasalahan yang berkaitan dengan agama. Seorang muslimah sejati yang bercita-cita untuk muncul sebagai da’iah seharusnya menguasai pelbagai cabang ilmu khususnya permasalahan fiqh yang membabitkan golongan wanita. Kekurangan yang dihadapi oleh umat Islam ialah kurangnya pakar-pakar di dalam ilmu-ilmu yang tertentu mengakibatkan pergantungan yang ketara kepada orang lain yang bukan Islam.

2. KEFAHAMAN YANG JITU mengenai selok belok perjuangan dan harakah islamiyyah. Generasi muslimah yang ideal ialah generasi yang dibentuk oleh pentarbiyahan yang berkesan. Bagaimanapun, proses ini bukanlah sesuatu yang mutlak di dalam melahirkan pejuang memandangkan ia adalah satu teori yang baru muncul di abad yang lalu. Namun, teori ini dianggap paling sempurna di dalam melahirkan muslimah yang benar-benar mengetahui apakah tuntutan sebenar mereka di dalam harakah islamiyyah yang akan diceburi. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ramai yang telah melalui proses pentarbiyahan akhirnya layu di medan perjuangan yang sebenar.

3. BERSYAKHSIYYAH DAN BERAKHLAK yang mampu menarik minat dan kecenderungan orang lain kepada dakwah. Seorang muslimah adalah umpama bunga yang berkembang mekar. Keindahan bunga tidak mungkin akan lengkap seandainya baunya tidak enak untuk dihidu. Akhlak itulah umpama bau bagi sekuntum bunga. Di tengah-tengah kebejatan sosial yang melanda umat remaja hari ini, alangkah baiknya jikalau muncul generasi muslimah yang benar-benar iltizam dengan syakhsiyyah islamiyyah. Bertudung labuh dan berjubah menjadi uniform bagi generasi muslimah yang ideal.

4. SEMANGAT DAN ISTIQOMAH yang bersemarak di dalam jiwa generasi pejuang perlu dibentuk agar setiap usaha yang dilakukan tidak layu di pertengahan jalan. Sesungguhnya sudah ramai sebelum kita yang mempunyai bakat yang hebat dan ilmu yang mantap namun akhirnya gugur di pertengahan jalan. Golongan mutasaqitun seperti ini terlalu ramai, malah kita sendiri pun tidak boleh mendabik dada mendakwa bahawa kita pasti akan selamat. Jalan yang terbaik ialah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman kita selepas kita menerima hidayah (Ali-Imran, ayat 8)



5. IKHLAS di dalam apa jua gerak kerja perjuangan kerana inilah yang menjamin para muslimah untuk mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. namun, kita mestilah memiliki hati yang benar-benar suci. yang mana kita perlu melalui proses pembersihan hati. rawatlah hati dari segala penyakit2 hati.

sama2 kita berusaha menjadi muslimat mukminat harapan dunia. wallahu'alam.

No comments: