Photobucket

Wednesday, October 20, 2010

Kerna Dirimu Begitu Bermakna..

WANITA YANG MULIA DI SISI ALLAH

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, apabila engkau perintah dia taat, apabila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.” Terdapat sebuah riwayat, bahawa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, ada seorang lelaki yang bakal berangkat untuk berperang di jalan Allah s.w.t. Dia berpesan kepada isterinya, “Wahai isteriku, janganlah sekali-kali engkau meninggalkan rumah ini sehingga aku kembali.” Secara kebetulan ayahnya menderita sakit, maka wanita tersebut mengutus seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda kepada utusan itu, yang bermaksud: “Supaya dia taati suaminya.” Wanita itu mengutus utusannya bukan hanya sekali sehingga akhirnya dia benar-benar mentaati suaminya dan tidak berani keluar dari rumah. Maka ayahnya meninggal dunia, tetapi dia tetap tidak pergi melihat atau menziarahi jenazah ayahnya. Dia tetap sabar sehingga suaminya pulang. Maka Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengampuni wanita tersebut disebabkan ketaatannya kepada suaminya.”

Dalam riwayat yang lain mengatakan bahawa Allah s.w.t turut mengampuni dosa ayahnya disebabkan ketaatan anaknya itu. Inilah sebenarnya perkara yang menyebabkan wanita diredai oleh Allah s.w.t, bukannya dalam persamaan hak yang seperti dituntut golongan yang jahil agama. Sedangkan dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi s.a.w telah melihat di dalam syurga bahawa Allah s.w.t memasukkan wanita ke dalam syurga 500 tahun lebih awal daripada suami mereka dan apabila melihat ke dalam neraka, Nabi s.a.w dapati dua pertiga daripada penghuninya adalah wanita.

KELEBIHAN WANITA

Abdullah bin Masud meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita mencuci pakaian suaminya, maka Allah s.w.t mencatat baginya seribu kebaikan, diampunkan 2000 kesalahan, bahkan segala sesuatu yang disinari matahari akan memohon ampun baginya dan Allah s.w.t mengangkat seribu darjat untuknya.”

Maulana Syed Ahmad Khan dalam bayannya menceritakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita. Katanya:

1. Seorang wanita yang salihah lebih baik daripada seorang wali Allah.

2. Wanita yang menguli tepung dengan membaca Bismillah akan diberkati Allah s.w.t akan rezekinya.

3. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti membersihkan Baitullah.

4. Wanita yang salihah lebih baik daripada 70 orang lelaki yang salih.

5. Allah s.w.t akan memberkati rezeki apabila wanita memasak dengan berzikir.

6. Seorang wanita yang menutup auratnya ditingkatkan oleh Allah s.w.t nur wajahnya 13 kali daripada wajah asalnya.

7. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah s.w.t yang Maha Indah di akhirat nanti, tetapi bagi Allah s.w.t sendiri akan datang untuk berjumpa dengan wanita yang menjaga auratnya purdah dengan istiqamah.

PERKARA YANG AMAT DILARANG ALLAH PADA SEORANG WANITA

1. Kepada wanita yang tidak menutup aurat Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hiduplah dengan apa yang kau suka.”

2. Allah s.w.t melaknati wanita yang sengaja mendedahkan auratnya kepada lelaki yang bukan muhrim.

3. Perempuan yang memakai kain yang nipis dan jarang untuk menarik perhatian lelaki bukan muhrim atau memakai segala yang mendatangkan keghairahan kepada orang lain, maka dia tidak akan mencium bau syurga.

Wanita yang jahat lebih buruk daripada seribu orang lelaki yang jahat. Pengorbanan seorang wanita amat dihargai oleh Allah s.w.t dan rasul-Nya. Cuma kita kurang mengetahui kelebihan yang dikurniakan kepada kita semua. Sehinggakan hari ini manusia Islam mencari sesuatu selain daripada agama kerana merasakan pengorbanan mereka tidak dihargai. Dan mereka turut melaungkan persamaan hak seperti di Barat.

Ini semua bukanlah salah mereka, tetapi kitalah yang bersalah kerana kita lupa bahawa kita ini umat yang dianugerahkan dengan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini - memberi harapan dan bimbingan kepada manusia.



KEMULIAAN ISTERI DI DALAM ISLAM

1. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri melayan dengan baik, maka dia memperoleh pahala jihad.

2. Wanita yang menyebabkan suami keluar ke jalan Allah s.w.t dan menjaga adab rumah tangga akan masuk syurga 500 tahun lebih dulu daripada suaminya. Dia akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari. Dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggang dengan menunggang kuda yang diperbuat daripada permata yaqut.


3. Wanita yang menjaga solatnya, puasa, dan taat kepada suami, Allah s.w.t izinkan dia memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia sukai.

4. Kalau isteri melayan suami tanpa khianat, dia mendapat pahala 12 tahun solat.

5. Wanita yang meninggal dengan keredaan suaminya akan masuk syurga.

6. Jika suami mengajar isterinya satu masalah agama, akan dapat pahala 80 tahun ibadat.

7. Isteri yang memandang suami dengan kasih sayang dan suami yang memandang isteri, juga dengan kasih sayang, maka Allah s.w.t memandang dengan penuh rahmat.

8. Jika suami mendatangi isterinya kemarahan, tetapi isteri melayan dengan baik, maka mendapat separuh pahala jihad.

KEMULIAAN IBU DI DALAM ISLAM

1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

2. Wanita yang hamil mendapat pahala puasa pada siang hari dan pahala ibadat pada malam hari.

3. Wanita yang bersalin mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah s.w.t menganugerahkannya satu pahala haji.

4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia dikira sebagai mati syahid.

5. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya, akan dapat satu pahala daripada setiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya yang menangis, maka Allah s.w.t beri pahala satu tahun pahala solat dan puasa.

7. Kalau wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh dua setengah tahun, maka malaikat di langit mengkhabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit, akan memperoleh pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

9. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit, akan diampunkan oleh Allah s.w.t akan seluruh dosanya dan apabila dia menghiburkan hati anaknya, Allah s.w.t mengurniakan 12 tahun pahala beribadat.



KEISTIMEWAAN WANITA

1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, baginda menjawab: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

2. Wanita yang salihah (baik) itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang salih.

3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t dan orang yang ttakut akan Allah s.w.t, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Barangsiapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka, barangsiapa yang menggembirakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail a.s.

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w) di dalam syurga.

6. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

7. Daripada Aisyah r.a. “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila ibu bapa memanggil kamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu. 10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya, akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan walinya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

12. Aisyah r.a berkata “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?” Jawab baginda, “Suaminya.” “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Ibunya.”

13. Wanita, apabila melakukan solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

14. Setiap wanita yang membantu suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang wanita mengandungkan janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan seribu kebaikan dan menghapuskan daripadanya seribu kejahatan.

16. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

17. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t memberinya pahala seperti memerdekakanya 70 orang hamba dengan ikhlas demi membela agama Allah s.w.t. Demikianlah besarnya anugerah Allah kepada para wanita yang taat akan perintah Allah, ajaran rasul-Nya.

No comments: